Entry: Bencana Penyakit Tiada muraqabatullah d kalangan Para 'amlin Thursday, March 17, 2005



oleh Dr. Sayyid Mohd Noh Nabi Muhammad S.A.W bersabda yang bermaksud : "Aku sangat mengenali sekumpulan umatku datang pada hari Qiyamat dengan ganjaran amalan kebajikan seumpama banjaran pergunungan putih tahamah, tiba-tiba Allah mengubahnya menjadi debu-debu yang beterbangan. Mereka sebenarnya adalah saudara-saudara kamu dan dari manusia sekulit kamu. Mereka berjaga malam (kerana ibadah atau jihad) seperti kamu juga , tetapi mereka itu apabila menyendiri dengan perkara-perkara haram, mereka terjerumus melakukannya." (Riwayat ibnu Majah) Pendahuluan Mereka yang melibatkan dii di dalam perjuangan menegakkan kalimah Allah SWT dan mendaulatkan Islam serta telah memberi banyak sumbangan dan pengorbanan kepada amal Islami, tidak sepatutnya mensia-siakan kerja amal mereka dengan tidak mendapat nilaian sedikitpun oleh Allah SWT. Antara penyakit besar yang sering menimpa mereka yang terlibat dlm kerja Islam secara berjamaah ialah , ketidakseimbangan penampilan mereka di dlm berjamaah dan ketika menyendiri. Mereka boleh memberi sumbangan yang cukup bernilai ketika mereka berjamaah tetapi terlalu lemah berhadapan dengan nafsu sendiri ketika menyendiri. Ketidakseimbangan ini adalah jelmaan kepada satu penyakit hati yang sangat parah dan bahaya sudahnya, iaitu tidak mengendahkan kepada pemerhatian Allah terhadap amalan hambaNya (Muraqabatullah) Langkah ke arah Muraqabatullah 1. Yakin dengan sepenuh hati bahawa Allah Azza Wajalla Maha Mengetahui segala yang berlaku, samada terang-terangan ataupun tersembunyi. Firman Allah SWT bermaksud : "Dan Dialah Allah (Tuhan) dilangit dan dibumi. Dia Maha Mengetahui (kerja perbuatan kamu) yang tersembunyi dan nyata dan Dia Maha Mengetahui apa yang kamu usahakan." (Al-An'am : 3) 2. Yakin dengan sepenuh hati bahawa Allah Ta'ala pasti akan mengambil kira setiap apa yang berlaku, dan Dia membongkarkannya pada hari kiamat kelak, dan Dia akan membuat pembalasan; jika baik dibalas baik dan jika buruk dibalas buruk. Firman Allah SWT yang bermaksud ; "Dan diletakkan kitab, lalu kamu melihat orang yang bersalah ketakutan dengan apa yang tercatat di dalamnya dan mereka berkata : Aduhai celakalah kami! Kitab apakah ini yang tidak meninggalkan perkara yang kecil dan besar melainkan ia mencatat semuanya, dan mereka dapati apa yang mereka kerjakan ada (tercatat) dan Tuhanmu tidak menganiayakan seorang pun. " (Al-Kahfi : 49) Pengajaran Hadith 1. Sentiasa muraqabatullah (melihat kepada pemerhatian Allah) di setiap ketika dan keadaan kerana ia adalah pengawal daripada terjerumus di dalam kederhakaan kepada Allah SWT dan pembantu untuk komited dan berpegang teguh di atas landasan yang betul. 2. Hadith ini membawa cerita benar yang menggambarkan satu episod daripada kisah di hari kiamat kelak. Membawa atau menyampaikan cerita adalah satu cara atau teknik yang berjaya dalam menyampaikan dakwah. 3. Sentiasa hidup dan bekerja secara berjamaah dan tidak banyak menyendiri. Dengan berjamaah , seorang muslim akan bersemangat untuk sentiasa memberi sumbangan, sebaliknya menyendiri menyebabkan kelesuan dan mudah diperdaya syaitan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Jauhilah perpecahan dan sentiasalah berjamaah, lantaran syaitan itu bersama seorang dan akan semakin jauh bersama dua orang" 4. Kemestian memelihara amalan baik yang telah dilakukan dengan menjauhi kerja maksiat dan derhaka. Jika tidak, jadilah dia seperti orang bodoh yang mempunyai harta yang banyak lalu dibelanjakan pada tempat yang tidak berfaedah. Satu cara berfikir yang dapat membantunya adalah dengan cara dia memahami bahawa jika dia berterusan di atas ketaatan , nescaya Allah menambahkan petunjuk kepadanya. Firman Allah SWT yang bermaksud : "Dan mereka yang sentiasa berada di atas petunjuk , Dia (Allah menambahkan petunjukNya dan Allah mengurniakan kepadanya petunjukNya. " (Muhammad :17) Penutup Sebaik mana seseorang insan, dia tetap lebih mudah diperdaya oleh syaitan dan nafsu apabila bersendirian. Sewaktu bersama-sama jamaah, akan ada sahaja sahabat yang cepat-cepat mengingatkan apabila ada di antara kita yang hampir tergelincir. Kita juga akan sentiasa mendapat perangsang/motivasi apabila melihat sahabat-sahabat mengerah keringat untuk jamaah. Kuncinya adalah 'muraqabatullah'. Tidak bermakna apabila bersendirian kita tidak mempunyai kunci tersebut tetapi berapa ramaikah di antara kita yang telah mencapai tahap sebegitu. Oleh yang demikian , lebih baik kita mengambil jalan selamat dengan sentiasa dikelilingi sahabat-sahabat yang boleh mengingatkan kita jika kita terlalai atau terlupa yang Allah SWT sentiasa melihat apa yang hambaNya lakukan..... BERSAMA-SAMA MEMARTABATKAN ISLAM.... p/s : saling tegur menegurlah kita ke arah kebaikan , InsyaAllah...di samping itu rajin2lah juga kita semua mengerjakan solat secara berjemaah , InsyaAllah di masjid , surau dll lagi.....amin

   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments